Perbezaan kenduri kahwin orang biasa dan kenduri kahwin orang kaya berdasaarkan pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui. Seperti yang semua sedia maklum, orang biasa yang dimaksudkan adalah orang yang selalunya membuat kenduri kahwin di rumah, tidak di dewan besar atau di hotel yang bertaraf berbintang-bintang. Manakala orang berada atau lebih senang dipanggil orang kaya sering menjadikan tempat untuk mengadakan kenduri kahwin di dewan-dewan atau hotel-hotel mewah. Di tempat bertaraf mewah memang menarik dan serba serbi canggih. Makanan terhidang depan mata, siap ada napkin, bunga terletak indah di tengah meja, makanan diletakkan dalam bekas cantik. Turut dihidangkan sekali seperti kopi, teh dan pemanis mulut. Kerusi juga beriben dan beralas indah.Namun sering kali terdengar rungutan tiada siapa yang datang membantu anda terpaksa pula melilau mencari tempat duduk. Nak tak nak anda terpaksa berlegar-legar mencari tempat duduk sehingga jumpa. Kalau nasib baik ada penyambut tetamu cekap, lekaslah dapat duduk. Jika tidak macam apa entah terhegeh-hegeh mencari tempat duduk, lebih malu jika disaksikan oleh tetamu lain yang sudah lama hadir di situ. Pasti ada yang terfikir, biasanya majlis yang mewah pasti ada penyambut tetamu. Tak kan lah boleh jadi macam itu? Memang kadang kala ada penyambut tetamu, tetapi kalau penyambut tetamunya letak yang cantik tapi tak tahu buat kerja macam mana? Pakai cantik-cantik, berbaris tepi pintu dan asyik tersenyum kepada tetamu. Itu sahaja yang mereka buat.Bukan hendak tolong tunjuk kan kepada tetamu tempat duduk tapi sibuk bergambar,bersalam sambil bergesel-gesel pipi, menyapa kenalan mereka yang baru hadir, berborak-borak sesama mereka dan macam-macam lagi kerenah nya. Sudah lah geram dengan keadaan itu, tambah pula apabila kita sudah berbaris panjang nak bergambar, tiba-tiba ada pula hamba Allah jumpa kawan dia sepasang suami isteri, bersalam kemudian disuruh masuk barisan di hadapannya. Kemudian datang seorang lagi, juga disuruh masuk, sehingga genap tiga pasangan kawan mereka memotong barisan. Amboi-amboi..melampau sungguh.Boleh sakit hati dibuatnya Sekurang-kurangnya hormatkan tetamu lain. Ini tidak, mentang-mentang mereka itu kawan mereka, orang kenal, mereka ingat mereka boleh buat sesuka hati. Kalau kenduri kahwin orang biasa pula, selalu kenduri diadakan di hadapan rumah dengan menggunakan khemah kenduri kahwin.Tuan rumah sambut tetamu tanpa perlu tetamu beratur panjang semua.Bersalaman dengan tuan rumah dan terus dijemput masuk.Makanan pula dihidang secara bufet. Ada yang katering dan ada juga yang masih gotong royong memasak secara tradisional.Paling kurang ada lima enam jenis lauk dan buah-buahan sebagai pencuci mulut, termasuk juga disediakan teh tarik, kopi O, bubur kacang dan macam-macam lagi.Tetamu boleh seronok makan sambil berbual-bual tengok pengantin bersanding. Selalu selepas bersanding, pengantin dan ibu bapa datang bawah khemah menyapa tetamu sambil mengucapkan terima kasih dan bersalaman. Tidak payah berbaris dan bersusah payah seperti di kenduri orang kaya kerana di majlis kenduri orang kaya, pengantin dan tuan rumah tunggu depan pintu, apabila habis tetamu kenamaan beredar, mereka pun lesap. Tinggal tetamu lain terkapai-kapai mencari jalan pulang. Dan selalu nya pun, pada majlis kahwin orang biasa, kita dibekalkan buah tangan, sebuah beg kertas penuh dengan kuih tradisional, gula-gula, kek dan sapu tangan dan bunga telur yang cantik.Semua yang hadir dapat termasuk lah kanak-kanak kecil. Tetapi di kenduri orang kaya pula, ada yang pulang dengan tangan kosong.Yang dapat buah tangan hanya lah mereka yang berpangkat tinggi atau yang dipanggil VVIP/VIP..konon-kononnya hanya orang kenamaan sahaja yang layak dapat.Perlu ke nak diskriminasi sampai tahap macam tu? Jadi sebagai pengajaran, tak perlu lah rasa rendah diri jika tidak dijemput ke majlis kahwin orang kaya, jangan rasa terhina bila asyik ke majlis orang biasa. Kaya atau biasa bukan ukurannya. Yang penting jemputan tuan rumah dipenuhi kerana kita semua ni sama di sisi Allah. Yang berbeza di dunia hanyalah pangkat, darjat dan kemewahan yang juga dianugerahkan Allah.
No comments:
Post a Comment